Kelebihan dan Kebaikan Zikir Yang Dijanjikan Allah SWT (Zikrullah Pengubat Hati)

subhanallah alhamdulillah allahuakbar

Zikir bukan hanya boleh dilakukan ketika selesai menunaikan solat tetapi ia boleh dibuat pada bila-bila masa dan ketika. Walaupun kita sibuk dengan berbagai aktiviti harian ia tidak bermakna tiada peluang untuk kita berzikir.

Sebenarnya, zikir amat mudah untuk dilakukan setiap hari. Jika tidak boleh membaca bacaan zikrullah yang panjang, terlalu banyak ayat zikir-zikir yang pendek. Sesungguhnya kebaikan dan kelebihan berzikir amat banyak dan janganlah kita sia-siakan.

Kelebihan dan Kebaikan Zikir


kelebihan dan kebaikan zikir Alhamdulillah

Berikut kami kongsikan kelebihan dan kebaikan zikir yang sangat besar serta terlalu banyak ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada kita jika kita mengamalkan zikir dalam kehidupan seharian kita.

1. Menghalau Syaitan dan Iblis

Syaitan sangat benci pada manusia yang taat dan patuh kepada perintah Allah. Disebabkan itulah syaitan sentiasa terus berusaha untuk sesatkan umat manusia. Bermacam hasutan tipu daya yang ia bisikan supaya manusia akan terus mendapat kemurkaan Allah SWT.

2. Allah Ingat Kepada Kita

Sebagai Pemilik dan Maha Pencipta seluruh alam semesta pastinya Allah amat menyukai hambaNya yang sentiasa dan sering mengingatNya setiap saat dan ketika. Allah berfirman yang bermaksud :

"Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu dan janganlah ingkar kepadaKu." - Surah Al-Baqarah Ayat 152

Jika sentiasa ingat kepada Allah SWT ketika senang, pastinya Allah akan mengingati kita ketika kita dalam kesukaran dan kesulitan. Sesiapa yang berusaha untuk dekat dengan Allah pasti akan mendapat apa yang diinginkan malah doa akan dimakbulkan Allah.

3. Sentiasa Bersyukur

Zikir adalah asas rasa syukur diri kita terhadap Allah SWT. Semakin banyak kita berzikir bermakna semakin banyaklah rasa kesyukuran kita kepada Allah.

Setiap lidah yang sentiasa basah kerana zikir akan terlepas dari mengatakan dan mengucapkan kata-kata atau perkara-perkara yang tak baik serta merosakkan. Apa juga jenis kerosakan yang berpunca daripada lidah seperti bohong atau menipu, fitnah dan mengumpat akan terhalang kerana berzikir.

4. Menambahkan Rasa Cinta Kepada Allah

Apabila kita menyintai seseorang, dirinya dan namanya sering kita sebutkan dan diingatkan. Rasa sayang dan perasaan cinta sememangnya amat indah dan tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata untuk diterjemahkan.

Begitulah perumpamaan apabila kita bercinta dengan Allah. Semakin banyak kita mengucapkan zikir bermakna semakin dekatlah diri kita dengan Allah. Zikirlah yang menjadi kunci kepada pintu cinta Allah.

Kesedaran betapa agungnya kebesaran Allah inilah yang telah menjadikan kita sebagai umat Islam yang paling hebat di dunia dan akhirat. Keyakinan Allah adalah satu-satunya yang berada di hati kita yang membimbing, yang melindungi dan yang membahagiakan kita. Kepada Allah jualah tempat kita berserah dan meletakkan harapan yang sepenuhnya.

5. Membersihkan Hati dan Jiwa

Zikir adalah penawar atau ubat untuk semua jenis penyakit hati. Hati yang telah kotor dan hitam akam kembali bersih dan suci hanya dengan berzikir. Hati yang telah lama mati akan hidup semula kerana telah mengingati Allah SWT sepertimana yang dikatakan oleh Ibn Taymiyyah ;

"Perlunya zikir kepada hati sama seperti air yang diperlukan oleh seekor ikan. Maka, zikir ini juga sentiasa dikatakan sebagai makanan kepada hati dan jiwa."

Hamba yang gagal serta lalai untuk mengingati Allah tentu akan letakkan hatinya dalam kekosongan dan kejauhan. Ini disebabkan Allah tidak lagi menjadi keutamaannya dan dirinya sering mencari sesuatu untuk mengisi ruang hatinya yang sentiasa kosong.

Hati yang sentiasa dikawal oleh zikir pula telah pun dipenuhi rasa cinta dan kasih sayang Allah. Ia akan menjadikan pemilik hati itu mendapat nikmat yang tak mampu dibeli walau dengan keseluruhan kekayaan yang terdapat di dunia ini.

6. Membuang Keresahan dan Kebimbangan

Setiap kali kita berada di dalam situasi yang sukar, kesulitan, kebimbangan dan seumpamanya ucapkanlah zikir yang teramat mudah ini, sebutlah ;

Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akhbar.

Segala puji-pujian, kesyukuran dan mengingati kebesaran Allah ini pasti akan melegakan hati dan perasaan kita yang dilanda keresahan dan kebimbangan. Hanya Allah SWT yang berkuasa di atas segala sesuatu di dunia ini.

Setiap perkara yang berlaku akan berlaku hanya di atas keizinan Allah sahaja dan pergantungan kita hanya kepada Allah Yang Maha Mengetahui segala sesuatu untuk kebaikan atau keburukan.

Oleh itu, berzikirlah dengan zikir ini yang pastinya akan tukarkan perasaan resah, gelisah dan bimbang itu kepada kegembiraan dan ketenangan. Setiap perasaan takut akan hilang serta merta kerana keyakinan kita terhadap Allah SWT.

Hati dan fikiran yang tenang tentunya akan menjadikan kita hamba yang kuat secara langsung. Orang yang tenang hatinya pastinya akan jelas terpancar di wajahnya dengan cahaya kebahagiaan dan ketenangan.

Baca : 8 Amalan Yang Amat Besar Ganjaran Pahala

7. Mendapat Kebaikan di Dunia

Orang yang sedang melafazkan zikir sentiasa dikelilingi oleh para malaikat. Hidupnya senantiasa dalam penuh keberkatan daripada Allah SWT. Zikirlah akan menimbulkan rasa seronok dan gembira untuk melakukan semua ibadah-ibadah lainnya.

Setiap sesuatu yang dibuat di dunia ini akan mendapat pertolongan daripada Allah SWT. Dengan berzikir dapat mengurangkan setiap satu beban seseorang. Seperti contoh dari Fatimah R.A yang mengadu kepada Rasulullah kerana kepenatan melakukan tugas hariannya ;

Rasulullah telah menasihatkan Fatimah R.A agar sentiasa berzikir 'Subhanallah', 'Alhamdulillah', dan 'Allahu Akhbar'.

8. Mendapat Ganjaran Yang Besar Dari Allah SWT

Biarpun amalan zikir sangat mudah dilakukan tetapi ganjaran dari Allah amatlah besar. Allah memberikan keampunan dan ganjaran pahala buat hambaNya yang sering berzikir kepadaNya.

Dirinya umpama sedang berada dalam taman Syurga dimana kebaikan sentiasa mengelilingi dirinya. Zikirlah yang menjadi sumber ganjaran pahala buat diri mereka yang selalu mengamalkan zikir tanpa rasa jemu malah seronok dan gembira.

Sekumpulan orang miskin bertemu Rasulullah mengadu tentang pahala yang lebih besar bagi mereka yang kaya dan berharta kerana kemampuan mereka. Mereka mengadu, ;

"Orang-orang kaya bersolat dan berpuasa seperti kami tapi mereka melebihi kami dalam mengerjakan haji dan umrah, dan berjihad dengan harta mereka." Rasulullah kemudian menasihatkan mereka untuk mengucapkan 'Subhanallah', 'Alhamdulillah', 'Allahu Akhbar' setiap kali selepas selesai menunaikan solat." - Sahih Bukhari

Dengan inilah menunjukkan bahawa kepentingan berzikir telah menyamai dengan berbagai bentuk ibadat lain seperti jihad, haji, umrah dan seumpamanya.

9. Mendapat Kebaikan Akhirat

Dalam keheningan malam yang sunyi, bibir ikhlas mengucapkan bacaan zikir tanpa henti diiringi dengan air mata. Zikir menjadi cahaya bukan sahaja ketika hidup malahan cahayanya turut indah menerangi kawasan kuburnya nanti.

Di alam akhirat nanti, zikir juga akan memberikan manfaat kepada mereka yang sering melakukannya. Zikir mampu menyelamatkan diri kita daripada azab api neraka yang amat menakutkan dan menyeksakan itu.

Orang yang penuh takwa akan terus menyibukkan diri dengan amalan zikir. Sama ada dalam keadaan dirinya berdiri, duduk, berjalan dan ketika berbaring sekalipun, sentiasa ada Allah. Dunia akan menjadi saksi utama setiap satu amalan yang dilakukan dan pastinya tempat mereka yang bertakwa adalah di syurga Allah SWT.

Keajaiban dan Kebaikan Zikir


Basahkan Lidahmu Dengan Zikrullah


Semoga perkongsian kelebihan dan kebaikan zikir akan menambahkan lagi ilmu pengetahuan kita semua dan semoga anda semua beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan dalam hidup bersama keluarga tersayang. Semoga bermanfaat. - ilmualam.com