8 Amalan Yang Amat Besar Ganjaran Pahala Dibuat Dalam Masa Seminit Saja

seminit dilakukan ganjaran pahala besar

Semakin masa berlalu, semakin umur kita meningkat dan setiap masa yang berjalan, saat demi saat sangat pantas pergi begitu saja. Pasti walau sedikit ada penyesalan dalam diri kita kerana gagal mencari masa dan waktu untuk membuat ibadat kepada Allah SWT.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Pastinya kita selalu merasakan diri kita inilah yang sering tergolong dalam kalangan manusia yang amat rugi seperti firman Allah melalui Surah Al-Asr.

Tetapi, mungkin ada yang tak tahu bahawa ada amalan-amalan yang boleh dilakukan dan diamalkan untuk mendapat ganjaran pahala yang amat besar. Semua amalan tersebut boleh dilakukan dalam masa satu minit sahaja walau di manapun anda berada.

Semua amalan baik ini boleh dilakukan walaupun ketika itu kita sedang membuat kerja seperti menunggu bas, membaca, sedang berjalan untuk ke mana-mana dan sebagainya mengikut tempat dan keadaan yang sesuai.

8 Amalan Amat Besar Ganjaran Pahala


Berikutnya kami kongsikan beberapa amalan yang baik yang boleh kita lakukan dalam jangka masa seminit atau sekurang-kurangnya beberapa minit tetapi diberikan ganjaran yang cukup besar oleh Allah SWT.

1. Membaca Surah Al-Ikhlas

amalan ganjaran pahala yang besar

Dalam masa seminit sahaja kita boleh membaca sehingga lebih dari 10 kali Surah Al-Ikhlas. Surah ini sangatlah mudah untuk diingat dan dihafal malah ia juga amat popular dibaca ketika dalam solat apabila kita ingin cepat mengejar masa. Rasulullah SAW bersabda ;

"Sesiapa yang membaca qul huwallahu ahad sampai akhir (Surah Al-Ikhlas) sebanyak sepuluh kali, maka akan dibangunkan baginya rumah di syurga." - Hadis Riwayat Ahmad

Mulai sekarang, jadikan membaca bacaan surah Al-Ikhlas sebagai rutin atau amalan untuk mengisi masa lapang, Insya Allah, kita akan dikurniakan rumah yang indah di Syurga nanti.

2. Selawat Ke Atas Nabi Muhammad SAW

amalan pahala berganda

Kita sememangnya amat digalakkan untuk selalu berselawat kepada Rasulullah kerana setiap selawat yang kita ucapkan, Allah akan memberikan 10 kali salam terhadap kita. Salam yang membawa maksud dirahmati hidup kita, dipermudahkan segala urusan dan sebagainya.

"Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya sebanyak 10 kali ganda." - Hadis Tiwayat Muslim

Dalam jangka masa satu minit kita mampun untuk berselawat melebihi dari 30 kali atau sekiranya kita mengucapkan selawat pendek, ia juga boleh mencecah sehingga lebih dari 100 kali mengikut anggaran.

3. Istighfar Memohon Keampunan Allah

amalan tambah pahala

Apabila setiap kali kita beristigfar, Allah akan memberikan kelapangan, kegembiraan dan dimurahkan rezeki yang tak disangka-sangka sepertimana satu hadis baginda Rasulullah SAW ;

"Barangsiapa yang sering beristighfar, maka Allah akan berikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, kelapangan bagi setiap kesempitannya dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka." - Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad

Dalam masa satu minit saja kita mampu beristighfar lebih kurang dalam 30 kali dengan penghayatan yang penuh atau pun sekadar lafaz yang ringkas iaitu "Astaghfirullah Hal Adzim," yang boleh kita lafaz dalam anggaran 100 kali.

4. Bertanya Khabar Ahli Keluarga

amalan mudah pahala besar

Dengan kemudahan yang tersedia pada zaman sekarang seperti media sosial, kita hanya memerlukan masa satu minit saja untuk bertanya khabar seluruh ahli keluarga yang ada. Sama ada pesanan SMS atau melalui Whatsapp kita sudah boleh mendapat berita tentang keluarga tersayang dengan cepat.

Tindakan bertanya khabar keluarga selain ibu bapa iaitu adik-beradik atau ahli keluarga terdekat, ia telah dikira sebagai menghubungkan silaturahim sesama keluarga yang amat digalakkan dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda ;

"Barang siapa yang suka diperluaskan rezekinya dan ditangguhkan saat kematiannya, hendaklah ia menyambungkan silaturahim." - Hadis Riwayat Bukhari

5. Lafaz Tasbih

cara mudah dapat pahala

Sepertimana sabda Rasulullah SAW ;

"Dua kalimah yang ringan di mulut tetapi berat di timbangan serta disukai oleh Allah Yang Maha Pengasih iaitu 'Subhanallah Wa Bihamdihi, Subahanallah Hil Adzim." - Hadis Riwayat Muslim

Dengan melafazkan dua kalimah yang teramat mudah ini, ia mampu membantu kita ketika berada di Hari Akhirat nanti yang mana semua amalan kita dikira dan ditimbang satu persatu. Malahan kita juga amat disukai oleh Allah SWT dan dalam seminit kita boleh lafazkan tasbih ini dianggarkan 50 kali.

6. Mengakui Semua Kejadian Kehendak Allah SWT

amalan sejuta pahala

Kalimat yang amat ringkas ini sebenarnya mempunyai kelebihan dan manfaat yang sangat luar biasa. Biasanya ayat ini kita hanya lafazkan ketika terdengar guruh berdentum di langit, tetapi Rasulullah SAW ada bersabda ;

"Wahai Abdullah bin Qois, katakanlah "Laa Hawla Wa Laa Quwwata Illa Billah," kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga." - Hadis Riwayat Bukhari

Cuba bayangkan, dengan hanya lafaz ringkas dan mudah ini, ia boleh menjadi sebagai satu simpanan pahala yang sangat berharga di Syurga Allah. Dalam masa satu minit, dianggarkan kita mampu melafazkan kalimat ini dalam 30 kali.

7. Mendoakan Kebaikan Untuk Orang Lain

amalan sedikit pahala banyak

Dengan menggunakan masa hanya satu minit, kita boleh berdoa untuk sesiapa saja, Insya Allah, Allah akan memberikan atau memenuhi permintaan yang sama untuk diri kita sepertimana doa kita terhadap orang lain itu.

Sebagai contoh, anda terserempak dengan seorang pengemis atau peminta sedekah, seterusnya anda berdoa kepada Allah, "Ya Allah, kau murahkanlah rezeki lelaki atau wanita ini," insya Allah kita turut sama dimurahkan rezeki.

Bermula daripada sekarang, jangan sekali-kali kita lupa untuk mendoakan kebaikan dan kebahagiaan orang lain. Nabi Muhammad SAW telah bersabda ;

"Barangsiapa yang mendoakan mukmin lelaki atau pun perempuan, nescaya Allah akan memberikan pahala kebaikan dari setiap mukmin lelaki dan perempuan yang telah didoakannya." - Hadis Riwayat Al-Thabarani

Baca : 7 Amalan Yang Pahalanya Berterusan Tanpa Henti

8. Menyebarkan Kebaikan Kepada Sesiapa Saja

meraih pahala besar dengan amalan ringan

Zaman sekarang semua berita atau maklumat tentang kebaikan, segalanya di hujung jari saja. Setiap satu kebaikan dan info berguna yang kita sebarkan dan orang lain mendapat manfaat darinya serta orang lain turut sebarkan apa saja kebaikan berkenaan, kita pasti dapat juga pahala berterusan.

Sepertimana yang Nabi Muhammad SAW bersabda ;

"Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk, maka ia akan mendapat pahala orang yang mengikutinya, yang demikian itu tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun." - Hadis Riwayat Muslim

Sebagai contoh yang mudah, dalam jangka masa seminit kita boleh berkongsi artikel ini kepada kawan-kawan Facebook anda dan apabila mereka turut sama menyebarkan info ini, anda juga mendapat manfaatnya dan malah semakin bertambah semakin banyak.

Kesimpulan

Sekarang semuanya terpulang pada diri kita sendiri sama ada ingin mengamalkan 8 amalan yang akan dapat ganjaran pahala yang luar biasa tersebut. Sekiranya kita pandai mengisi masa yang terluang dengan amalan-amalan ini, insya Allah, kita pastinya akan dapat merasai satu demi satu perubahan yang besar dalam kehidupan kita.

Amalan-amalan yang dikongsikan ini juga adalah satu bukti bahawasanya Allah sangat menyayangi hamba-hambaNya dengan berikan ganjaran pahala yang besar dan luar biasa walaupun amalan-amalan tersebut sangat mudah untuk dilakukan.

Pesan Nabi Muhammad SAW ; "Sampaikanlah dariku walau satu ayat dan setiap kebaikan itu adalah sedekah." Jadi, jika anda kongsikan perkongsian ini kepada sesiapa saja, ia juga adalah sebahagian daripada sedekah dan dakwah. Insya Allah, dengan izin Allah pasti ramai yang dapat manfaat daripada perkongsian ini.

Semoga perkongsian 8 amalan-amalan yang amat besar ganjaran pahala yang dikurniakan Allah kepada kita dapat kita amalkan dan dijadikan amalan harian sampai bila-bila sehingga ke anak cucu. Semoga bermanfaat.