Hukum Bersedekah Tapi Mengungkit Setiap Pemberian dan Sedekah

hukum bersedekah tapi mengungkit pemberian

Bersedekah adalah salah satu amalan yang amat mulia serta sangat disukai Allah tetapi setiap sedekah atau pemberian wajib dengan keikhlasan serta tidak mempunyai niat lain melainkan dengan seikhlas hati. Dengan keikhlasan itulah ibadah kita pasti akan diterima oleh Allah SWT serta digandakan pahala.

Walau bagaimanapun, tidak semua orang yang bersedekah itu ikhlas dengan setiap pemberian sedekah mereka. Perkara ini berlaku apabila niat mereka menyimpang daripada tujuan asal iaitu memberi sedekah di atas sebab-sebab tertentu sehingga ada yang mengungkit-ungkit pemberian mereka.

Menunjuk-menunjuk sedekah mereka, mengungkit dan ingin mendapatkan pujian daripada orang setiap pemberian mereka adalah antara punca sedekah mereka tidak diterima Allah walau beribu dan berjuta harta disedekahkan. Namun ramai yang tidak menyedari perkara ini dan masih melakukannya sehingga ke hari ini.

Mengungkit dan ingin mendapat pujian di atas pemberian dan sedekah mereka itu sebenarnya berdosa malah akan mendapat siksaan yang pedih daripada Allah SWT. Sebagai umat Islam, kita diwajibkan mengetahui hukum bersedekah dengan ikhlas dan betul agar mendapat ganjaran pahala daripada Allah.

Hukum Bersedekah Tapi Mengungkit Pemberian


kesan mengungkit pemberian sedekah

Mengungkit setiap sedekah dan pemberian adalah satu perbuatan yang tidak diajarkan dalam Islam. Perkara ini juga akan menyakitkan hati penerima sedekah malahan perbuatan sebegini menjadikan manusia itu sombong dan bongkak dengan setiap pemberiannya dan pastinya orang begini akan mendapat balasan.

1. Hilang Pahala Sedekah Orang Tersebut

Pahala setiap pemberi sedekah yang sering mengungkit dan sombong serta menunjuk-menunjuk sedekahnya terhadap penerima sedekah dan orang lain, malahan walau sedetik di hatinya mempunyai niat agar  dipuji dengan pemberiannya juga secara automatik pahala yang besar itu hilang sekelip mata.

Allah SWT ada berfirman, ertinya :

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian.

Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir." [QS. Al-Baqarah ayat 264]

2. Tidak Masuk Syurga Allah

Pastinya balasan yang amat pedih akan diterima oleh mereka yang tidak ikhlas bersedekah dan juga sombong dengan pemberian mereka itu. Malahan Allah tidak akan mengajaknya untuk berbicara ketika di hari akhirat nanti.

Dari Abu Dzarr r.a. dari Rasulullah SAW bahawa beliau bersabda:

"Tiga jenis orang yang Allah tidak akan mengajak mereka bicara pada hari kiamat, tidak melihat mereka, tidak menyucikan mereka dan bagi mereka azab yang pedih."

Rasulullah mengulangi perkataan itu tiga kali. Abu Dzarr berkata,

"Celaka dan rugilah mereka, siapakah mereka wahai Rasulullah?"

Rasulullah menjawab, "orang yang memanjangkan celana atau kainnya melebihi mata kaki, mannan (orang yang mengunkit-ungkit pemberian) dan orang yang menjajakan dagangannya dangan sumpah palsu." (HR Muslim (106).

"Ada tiga golongan di hari kiamat di mana Allah tidak berbicara, tidak melihat dan tidak pula mensucikan mereka dan bahkan bagi mereka siksa yang pedih, iaitu orang yang melabuhkan sarungnya hingga telapak kaki, orang yang mengungkit-ungkit pemberiannya dan orang yang menawarkan dagangannya dengan sumpah palsu." [HR. Muslim]

Sedekah Tapi Mengungkit - Ustaz Kazim Elias


Semoga perkongsian hukum bersedekah tapi mengungkit dengan setiap pemberian dan sedekah ini akan membantu anda untuk lebih mendalami tentang ibadah bersedekah ini. Marilah sama-sama kita ikhlaskan hati dalam setiap sedekah kita agar kita akan terus mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah SWT. Semoga bermanfaat. - ilmualam.com