*BESEDIAKAH KITA?*
*INNA LILLAHI WA INNA ILAIHI RAJI'UUN.*
*اِنّا لِلّهِ وَاِنّا اِلَيْهِ رَاجِعُوْن.*
Kita terus bertanya siapa yang meninggal?
"Sesungguhnya daripada Allah kita datang, kepada Dialah jua kita kembali."
*Bagaimana jika berita itu, khabar kematian kita sendiri?*
Saat itu ramai yang sudah berkumpul di ruang tamu. Dalam sedih dan sendu, penuh terharu.
Kita dengar dan lihat saat itu...tapi hanya terbujur kaku...menepis lalat pun tak mampu...
Jenazah sedang diuruskan. Bau kemenyan, kapur barus, air bidara dan serbuk geharu saling menusuk deria hidu. Siraman air satu persatu dihitung syahdu. Anggotamu di wudhukkan dan dimandikan penuh sopan dan kelu.
Tugas mengafankan sedang disempurnakan oleh beberapa orang di sebalik tirai kusam.
Alunan syahdu surah Yasin menambah kesayuan. Bak ombak membadai di pantai hati yang terharu. Kita mengeluh : " Aduhai inilah kesudahan buatku"
Sanak saudara mengaji sambil menyeka air mata. Mata-mata yang memerhati dari tadi tidak dapat menahan tangis mereka. Semua tetamu mendiamkan diri, bertafakkur, berkongsi kesedihan dan mendoakan sesuatu buat mu.
Mati....Kehadirannya yang pasti
Tiada siapa dapat menghindari
Setiap hari pasti ada yang pergi
Pergi takkan kembali lagi...
Sakratul maut....pertarungan yang sangat hebat. Hela nafas terasa berat dan sendat. Sejuk tubuh terpancar urat-urat...nyawa dicabut ke negeri akhirat...
Selepas itu tiada lagi suara yang berbicara dan tiada lagi cahaya di ruang mata...tiada lagi gelak tawa...tinggal semua harta dan kemegahan dunia...
Mati...sebuah perpisahan bagi segala pertemuan. Permulaan musafir kehidupan akhirat yang hebat.
Siapa sedar ia sebuah permusafiran yang jauh dan berpanjangan....
Mati...datangnya mungkin serta merta.... tanpa sebarang nota dan tinta. Menyapa siapa sahaja....tiada lagi peluang ibadat...fardhu , sunat mahupun qadha...walau tangis seribu tahun....tiada lagi peluang kedua....
Aku ingin rukuk! Aku mahu sujud! Aku ingin menyembah Tuhanku lagi! Namun saat itu, aku hanya mampu menangis tanpa air mata kerana aku kini sudah tidak ada upaya apa-apa lagi.... Kudrat yang pernah dipinjamkan Allah telah diambilNya semula.
Sudah terkena baru terasa....perjuangan hidup yang panjang hanyalah persiapan untuk satu perkara, iaitu untuk kembali kepada Allah dalam rela mahupun terpaksa....
“Ya Allah, jadikan umur terbaikku di penghujungnya, jadikan amal terbaikku di penutupnya dan jadikan hari terbaikku adalah hari bertemu denganMu.”
*Ustaz Mohd Hazri al-Bindany*
Senafas Ke Barzakh : http://www.fatehteam.com/senafas-ke-barzakh-ustaz-ahmad-dusuki-abd-rani/