Berpindah ke rumah yang baru dibeli sememangnya amat menyeronokkan dan rasa gembira serta bangga pasti wujud tidak terkira kerana titik peluh selama ini berbaloi setelah dapat menyediakan sebuah rumah baru yang sempurna untuk isteri dan anak-anak. Pastinya anak-anaklah orang yang paling gembira kerana dapat duduk di rumah baru ini.
Walau bagaimanapun, jangan sekali-kali kita hanya memikirkan tentang keseronokan sahaja apabila memasuki rumah baru serta untuk menghias segala macam tempat dan sudut semata-mata. Pasti ada banyak perkara yang anda wajib dahulukan untuk memastikan keadaan rumah baru tersebut dalam keadaan baik dan selesa untuk diduduki.
Selain mencuci seluruh kawasan rumah sehingga bersih terlebih dahulu, ada enam perkara ini yang patut anda buat sekiranya berpindah ke rumah baru. Apa pun tak kira sama ada rumah baru, rumah sewa, rumah yang sudah lama ditinggalkan atau pun rumah apa saja yang anda akan duduki wajib kena lakukan perkara yang sama agar tidak berlaku perkara tidak diingin di masa depan nanti.
Berikut dikongsikan kepada anda amalan semasa pindah ke rumah baru yang wajib anda lakukan sewaktu ingin menduduki rumah berkenaan. Bacaan doa selamat, azan berserta ayat-ayat Al-Quran sangat baik dibuat sewaktu pindah rumah seperti yang dikongsikan di laman Facebook.
Adab & Doa Masuk Rumah Baru Pindah
1. Laungkan Azan
Langkah ni memang wajib buat. Laungkan azan ketika pertama kali masuk rumah baru. Ia juga baik bagi bangunan yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah bangunan (premis/rumah) itu terlalu lama dikosongkan tanpa penghuni, ia pasti akan dimasuki sejenis makhluk halus (jin yang dikenali sebagai Al-‘Ammar), yang suka tinggal di rumah yang tidak berpenghuni.
2. Baca Surah Al-Baqarah
Bila dah pindah ke rumah baru, malam pertama pastikan anda habiskan Surah Al Baqarah. Paling kurang pun pasangkan surah ini di dalam rumah. Biarkan ia bergema di seluruh rumah anda. Syaitan dan jin akan lari sebaik surah ini dibacakan. Lengkapkan dengan bacaan Yassin sekali.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; "Janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya untuk tidur), sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah."
3. Solat dan Membaca Al-Quran
Pastikan jangan ditinggalkan solat dan amalkan bacaan Al Quran setiap hari. Inilah pendinding kita umat Islam. Dalam sebuah hadis lain pula, Rasulullah s.a.w. juga menggalakkan agar kita memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran di dalam rumah atau bangunan yang baru diduduki. Baginda bersabda yang bermaksud: "Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran." (hadis riwayat Al-Baihaqi)
4. Baca Surah Yassin, Al-Fatihah dan Al-Ikhlas
Amalkan membaca surah Yassin setiap malam terutamanya 7 malam pertama anda menduduki rumah atau bangunan. Baca juga surah Al-Fatihah sebanyak satu kali, surah Al-Ikhlas 3 kali, selawat ke atas Nabi sebanyak 7 kali, ayat Kursi sekali, tetapi di ayat terakhir bacalah sebanyak 7 kali.
5. Pagar Rumah
Yang ni wajib buat sebelum berpindah masuk. Pagarkan rumah dengan renjisan air yassin pada setiap penjuru rumah. Lengkapkan dengan bacaan Yassin setiap hari sepanjang hari. Insya Allah rumah akan dilindungi.
Atau cara paling mudah, ambil segelas besar air kemudian baca surah Al-Fatihah, ayat Kursi, Surah 3 Kul (Al-Ikhlas, Al-Falaq dan Al-Nas) kemudian tiup ke dalam air tersebut perlahan-lahan hingga habis nafas.
Setelah itu, jirus dan renjiskan air tersebut ke setiap penjuru rumah dengan dimulai dengan penjuru yang terletak di sebelah kanan dan penjuru seterusnya, mengikut arah berlawanan jarum jam. Percaya dan yakinlah Allah sentiasa melindungi kita.
Semoga perkongsian amalan, adab dan doa masuk rumah baru yang kami kongsikan ini akan membantu anda untuk berpindah ke rumah baru dengan aman dan sempurna tanpa sebarang gangguan dan sebagainya. Semoga bermanfaat untuk anda sekeluarga.