Setiap yang hidup pasti akan mati dan setiap yang mati itu pastinya akan dibangkitkan semula semasa di Padang Masyar. Adakah kita ini daripada golongan ahli Syurga atau adakah dari golongan ahli Neraka? Hanya diri kita yang tentukan sama ada kita di Syurga atau pun di neraka selepas kehidupan di alam barzakh nanti.
Setiap orang muslim yang hidup di dunia ini harus tahu apakah soalan-soalan cepumas yang akan ditanya nanti dan semua jawapan tersebut telah kita ketahui. Namun, yang kita tidak ketahui adalah dapatkah kita ini menjawab semua persoalan-persoalan berkaitan yang ditanya oleh Malaikat Mungkar dan Nakir.
5 Soalan atau Pertanyaan Di Alam Kubur
Rasulullah SAW ada bersabda:
"Apabila si mati dikuburkan, datanglah kepadanya dua Malaikat hitam legam, lagi biru (matanya), salah satu di antaranya disebut dengan nama "Munkar" dan yang satu lagi disebut dengan nama "Nakir", (lalu keduanya mendudukkan si mati itu setelah dikembalikan rohnya ke dalam jasadnya). Kemudian mereka menyoalnya: Apa yang pernah engkau katakan mengenai orang ini (Muhammad SAW)?
Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud:
Mereka bertanya kepadanya: Apa yang engkau pernah sembah?
Maka kalau Allah memberi hidayah petunjuk kepadanya, ia akan menjawab dengan berkata: Aku menyembah Allah!
Kemudian ia ditanya lagi: Apa yang engkau pernah katakan mengenai orang ini (Muhammad SAW)?
Dan pada satu riwayat yang lain, oleh Abu Daud juga:
Mereka menyoalnya dengan berkata: Siapa Tuhanmu?
Ia menjawab: Tuhanku ialah Allah!
Mereka bertanya lagi: Apakah agama mu?
Ia menjawab: Agamaku ialah Islam!
Mereka bertanya lagi: Siapa dia orang yang telah diutuskan dalam kalangan kamu?
Maka kalau si mati seorang yang beriman, ia akan menjawab dengan berkata:
Orang itu (Muhammad SAW) ialah hamba Allah dan RasulNya, aku mengetahui serta meyakini bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu ialah hamba Allah dan RasulNya!
Mereka berkata kepadanya: Kami sedia mengetahui bahawa engkau mengakui yang demikian.
Dan pada satu riwayat oleh Abu Daud bahawa Baginda SAW bersabda:
"Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: Sungguh benar hamba-Ku, maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Syurga, dan pakaikanlah dia pakaian dari Syurga, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Syurga.”
Rasulullah SAW bersabda lagi:
"Lalu datang kepadanya sebahagian dari bau Syurga dan keharumannya; kemudian dilapangkan kuburnya seluas tujuh puluh hasta persegi dan diberikan cahaya yang menerangi kuburnya; kemudian dikatakan kepadanya: Tidurlah! Lalu ia berkata: Bolehkah aku balik kepada keluargaku supaya dapat aku ceritakan kebaikan halku?
Dua Malaikat itu berkata kepadanya:
Tidurlah seperti tidurnya pengantin yang tidak dibangkitkan dari tidurnya melainkan sekasih-kasih ahlinya; Demikianlah halnya sehingga ia dibangkitkan Allah dari tempat baringnya itu.
Jika si mati itu seorang munafik, ia menjawab pertanyaan Malaikat itu dengan katanya: Aku dengar orang berkata demikian, maka aku pun turut berkata sama; aku tidak tahu benarkah atau tidak.
Lalu dua Malaikat itu berkata: Memang kami tahu engkau berkata demikian.
Dan menurut satu riwayat oleh Abu Daud: Lalu diseru oleh penyeru dari langit katanya: Sesungguhnya orang itu berdusta maka bentangkanlah kepadanya satu hamparan dari Neraka, dan pakaikanlah dia pakaian dari Neraka, serta bukakanlah baginya sebuah pintu ke Neraka.
Rasulullah SAW bersabda lagi:
"Lalu datang kepadanya sebahagian dari bahang Neraka dan udara panasnya; kemudian diperintahkan bumi supaya mengapitnya lalu bumi mengapitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya, maka tinggallah ia dalam azab itu terus menerus ke masa Allah bangkitkan dia dari kuburnya." (Abu Hurairah r.a)
Hayat Kehidupan Manusia Sebelum Mati
Hari ini ada yang masih di dalam alam rahim. Ada yang masih dalam alam dunia. Ada yang sudah ada di alam kubur. Yang pasti semuanya akan ke alam akhirat. Yang masih di alam rahim, penuh pengharapan dan doa daripada insan di alam dunia. Yang sudah di alam alam kubur, penuh penyesalan jika tidak menghargai saat di alam dunia. Hanyalah mampu mengharapkan doa dan ingatan daripada yang masih ada di alam dunia.
Ternyata alam dunia adalah alam yang penuh kebergantungan dengan berdoa. Berdoa untuk orang yang dalam alam rahim, alam dunia dan alam kubur. Doa itu senjata mukmin, solat itu mediumnya. Solat kita menunjukkan akhlak kita. Bila kita kata doanya sudah, tapi solatnya tidak, itulah tandanya kita tidak berakhlak dengan Allah.
Sebanyak mana pun kita kata kita berdoa untuk diri kita dan orang lain, namun tidak cakna solat, kita tetap dianggap bukan orang yang baik. Doa orang yang baik-baik, Allah mudah makbulkan kerana Allah itu maha baik. Sebab itu penting untuk kita jadi baik.
Mohon Allah selalu sayang kita. Nikmatnya bila Allah sayang, Allah bagi kita selalu utamakan solat dan selalu nak buat baik. Mohon Allah tegur kita setiap kali kita buat salah. Biar kita terduduk tersungkur di dunia kerana Allah mahu sedarkan kita. Ianya jauh lebih baik daripada kita tidak dipedulikan di alam kubur.
Sementara kita masih ada di alam dunia, bantulah insan-insan yang masih dalam alam rahim untuk menjadi khalifah yang hebat di alam dunia kelak dan bantulah insan-insan ada dalam alam dunia termasuk diri kita untuk sama-sama tenang melangkah ke alam kubur bila sampai masa. Usah dilupa untuk bantu yang sudah ada dalam alam kubur agar tenang di sana sehingga hari kebangkitan. Doa itu bantuan yang sangat hebat! - Starry Hidayah Harun
Semoga perkongsian 5 soalan atau pertanyaan yang akan ditanyakan kepada semua orang yang telah mati di alam kubur nanti bermanfaat buat anda dan diharap perkongsian ini juga akan mampu menyedarkan anda untuk terus membuat amal dan amalan. Semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang dijauhi azab api neraka.