Hukum Wanita Menyanyi Di Sisi Islam (Suara Wanita Adalah Aurat?)

hukum suara perempuan menyanyi menari

Zaman sekarang bidang nyanyian dijadikan kerjaya manakala muzik dan lagu sangat diminati ramai sama ada lelaki atau perempuan di seluruh dunia. Ia tidak terkecuali dengan remaja Islam yang turut sama meminati nyanyian malah ramai yang turut menjadi penyanyi. Tetapi apakah hukum wanita menyanyi dalam Islam dan bukankah suara perempuan itu aurat?

Walau bagaimanapun, jika anda seorang wanita dan turut meminati bidang nyanyian atau menyanyi adalah hobi untuk memuaskan hati sendiri, adalah lebih baik anda mengetahui apakah hukum seorang wanita itu mengeluarkan suara iaitu dengan menyanyi di khalayak ramai dan sebagainya.

Begitu juga tentang muzik yang wajib anda ambil tahu agar ia tidak menjadi dosa. Tetapi sekarang, ramai juga yang meminati nyanyian lagu-lagu nasyid yang menjurus kepada kebaikan dan kesedaran agama menerusi lirik lagu nasyid berkenaan. Tetapi kebanyakan lagu nasyid sekarang turut menyimpang dari landasan apabila lagu tersebut ditukarkan kepada memuja wanita atau kekasih.

Apakah Hukum Suara Perempuan & Menyanyi


Melalui perkongsian daripada Mufti Wilayah Persekutuan yang menjawab persoalan tentang apakah hukum suara perempuan menyatakan bahawa menurut pendapat jumhur, suara-suara orang perempuan tidak dikira sebagai aurat. Kerana para sahabat mendengar suara isteri-isteri Nabi Muhammad SAW untuk mempelajari hukum-hukum agama.

Walau bagaimanapun, penjelasan tersebut menegaskan bahawa setiap orang lelaki juga diharamkan mendengar suara perempuan yang berbentuk lagu dan irama walaupun bacaan Al-Quran sekalipun kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah kelak.

Firman Allah SWT:

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ النِّسَاءِ ۚ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

Maksudnya: Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

Amaran Allah Tentang Suara Wanita


Hukum suara wanita mufti wilayah

Allah SWT yang menciptakan manusia sememangnya telah memberi peringatan akan hal ini apabila menyebut :

"Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya berkeinginan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik (kandungan dan tatacaranya)" (Al-Ahzab : 32)

Para ulama tafsir menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan diperdengarkan kepada lelaki bukan mahram) tiada khilaf dalam hal ini (Adwa al-Bayan, 5/10 : At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137; )

Imam As-Suddi berkata : larangan ini bermaksud kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki.

Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat (Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177)

Berdasarkan dalil ayat ini, apa yang boleh saya fahami adalah nyanyian wanita juga tergolong dalam bab yang diharamkan oleh Islam apabila ia diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahram. Adapun jika ia dinyanyikan oleh kanak-kanak wanita yang belum baligh atau ia dinyanyikan khas untuk para wanita. Ia adalah dibenarkan.

Yang dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan. Ianya adalah diharamkan untuk diperdengarkan kepada khalayak lelaki secara Ijma' selama-lamanya. (An-Nihayah, Ibn Athir, 42/2; Lisan al-Arab, Ibn Manzur, 73/8; Tafsir At-Tabari; 3/22; Hasiyah At-Tohawi; 1/161)

Maka kumpulan penyanyi wanita hari ini termasuk di dalam kumpulan yang diharamkan Allah. Malah bukan sekadar ‘illah suara sahaja yang boleh menjadikan mereka tercebur dalam perkara haram, malah pakaian dan pergerakkan mereka di khalayak awam juga.

Kebiasaannya apabila persembahan di buat, mereka kerap bersolek-solekan dengan pakaian yang canggih manggih.

Di samping itu, duduk pula di atas pentas menjadi tontotan lelaki, jika para ulama semasa menghukumkan haramnya bersanding pengantin di atas pentas dalam keadaan senyap tanpa berkata.

Apatah lagi kumpulan penyanyi wanita yang bersolek adakala seperti pengantin ini dan melentuk-lentuk tubuh dan suaranya di hadapan lelaki bukan mahram, sudah tentu haramnya lebih besar. Dengan pakaian yang menjolok mata ditambah ketat, perkara ini menjadi suatu fitnah kepada umat Islam.

Selain itu juga, hukum memberi sokongan dan menaja penyanyi wanita adalah haram malah dilaknat Allah dan Rasulullah SAW. Ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi:

"Laknatlah penyanyi perempuan dan kepada siapa mereka perdengarkan nyanyian (pendengar)"

Rasulullah juga menyatakan bahawa petanda kepada kiamat adalah berleluasanya penyanyi dan penari wanita yang tidak mempunyai perasan malu dan aib kepada lelaki. Perkara haram adalah haram dan yang halal tetap halal.


Kesimpulannya adalah wanita yang menyanyikan lagu adalah suatu perkara haram mutlak selama-lamanya. Manakala, pihak yang terlibat juga mendapat saham dosa selama mana dia tidak bertaubat kepada Allah Taala. - Facebook

Semoga perkongsian tentang hukum suara wanita dan perempuan menyanyi ini akan menjelaskan semua persoalan yang sedang bermain di fikiran anda. Yang haram tetaplah haram untuk selama-lamanya. Jika anda pernah menyanyi di khalayak ramai sebelum ini, bertaubatlah sebelum terlambat. Semoga bermanfaat. - ilmualam.com