Khusyuk dalam solat itu rezeki. Bila khusyuk hati jadi tenang dan fokus. Selain memahami bacaan dalam solat, anda juga boleh praktiskan 13 cara,kongsikan ini. Sebelum itu ketahui dahulu bagaimana khusyuk ini boleh mempengaruhi otak.
Bagaimana Khusyuk Pengaruhi Otak
Solat itu tuntutan. Suruhan dari tuhan. Hadiah untuk insan.
Solat bukan sekadar rutin. Bukan juga aktiviti berdiri, rukuk dan duduk. Ia aktiviti libatkan otak.
Lebih menarik ada beza antara solat khusyuk dan tidak. Keduanya terpamer pada otak manusia.
Apabila seorang insan bersolat tanpa khusyuk, otak bahagian prefrontal cortex (PFC) masih terus aktif. Semua aktiviti dunia berlari di minda seperti tayangan movie.
Tiada tenang. Tiada damai. Tiada perkataan baginda “Arihna Ya Bilal” (rehatkan kami Wahai Bilal) bertakhta di sanubari.
Manusia kekal kalut. Kekal bergelut. Gambar imbasan otak sebelah kiri cerita segalanya. Warna kuning tanda otak masih aktif.
Tiada khusyuk.

Apabila hadir solat dengan hati. Merunduk menatap bumi, bahagian PFC senyap sunyi. Bukti tuhan diingati dan dikasihi.
Menarik lagi, bahagian lain pula menjadi aktif. Basal Ganglia, pusat reward atau habuan menjadi aktif. Tanda lega dan tenang bersarang di hati.
Anterior Cingulate Gyrus juga tidak terkecuali. Kesedaran emosi dan sosial berpusat di sini. Kurangkan rasa marah dan anxiety.
Rasa ragu hilang. Rasa sangsi tiada lagi beraksi.
Kajian ini dimuat dalam Journal of Physiology tahun 2015. Kajian ke atas orang yang solat. Solat sebagai rutin berbanding dengan memaknai makna ketuhanan.
BACA: 7 Amalan Boleh Dilakukan Dalam Masa Satu Minit Tetapi Besar Ganjarannya
Kajian ini berikan makna beza. Antara khusyuk dan solat biasa. Solat dengan khusyuk beri kesan luarbiasa pada otak.
Wujud tenang, damai, kuatkan rasa bertuhan.
Saya tertanya-tanya bagaimana dengan solat saya? Solat tuan/puan pula bagaimana?
Solat Dengan Khusyuk
Apabila kita solat dengan khusyuk, aktiviti OTAK bernama Parietal Lobe menjadi kurang aktif. Fokus hanya pada yang satu. Bukan lagi terkenang kunci yang hilang atau apa yang perlu dibuat selepas ini.
Apabila OTAK masih sibuk fikir hal dunia, tandanya Parietal Lobe masih aktif. Soalnya bagaimana mahu kurang aktiviti parietal lobe supaya solat lebih kusyuk?
13 Cara Tenteramkan Parietal Lobe
Untuk tenteramkan bahagian ini perlu PRAKTIS. Setiap hari. Sama seperti orang berlatih sukan.
Tanpa latihan tiada pencapaian.
Caranya MUDAH. Perlu PRAKTIS dahulu.
1. Cari tempat yang tiada gangguan. Boleh jadi bilik tidur atau mana-mana tempat yang sesuai. Jauh dari gangguan untuk 5 minit sebagai permulaan.
2. Duduk dalam keadaan selesa. Cara duduk terpulang. Asal SELESA. Pejamkan mata atau buka bergantung pada tahap SELESA.
3. Bernafas melalui hidung. Rasakan udara yang masuk. Sejuk @ panas. Hembus nafas melalui mulut. Rasakan udara yang keluar.
4. Teruskan bernafas. Fokuskan pada bahagian dada yang turun naik apabila bernafas. Teruskan bernafas. Rasakan pergerakan itu.
5. Teruskan bernafas. Alihkan fokus pada pergerakan di perut. Turun naik perut. Rasakan.
BACA: 7 Persoalan Tentang Sujud Syukur Dan Tatacara Melaksanakannya
6. Mungkin fikiran akan melayang. Biarkan. Kembalikan fokus pada rasa udara keluar masuk, gerakan di dada dan diperut.
7. Selepas dua minit, boleh mulakan zikir. Ambil perkataan dua suku kata. Contohnya Allah. Ini akan aktifkan Frontal Lobe.
8. PRAKTIS 5 minit dahulu. Buat untuk 12 hari. Tujuan utama untuk belajar tenteramkan PARIETAL LOBE.
9. Apabila sudah dapat rentak ini, setiap kali sebelum solat, lakukan aktiviti ini. Bernafas dan berzikir.
10. Perlu rancang waktu mahu solat. Beri lebih masa. Perlu ruang bertenang.
11. Selepas zikir dan sebelum mulakan solat bernafas dengan tenang. Berdiri dan bernafas dengan relaks.
12. Semasa solat nafas perlu dijaga. Ritma nafas perlu selari dengan bacaan. Contohnya, tarik nafas dan baca ayat. Berhenti dan tarik nafas untuk ayat berikutnya. Kaedah ini akan tenteramkan parietal lobe.
13. Fokus pada sebutan bacaan. Apabila fikiran melayang, tarik nafas, lepas. Sambung semula apabila dapat fokus kembali.
Perlu PRAKTIS. Tenang tidak bertandang tanpa diundang.
Khusyuk itu rezeki. Salah satu tanda betapa dekatnya kita dengan kiamat ialah Allah tarik nikmat khusyuk ini. Dan kiamat kecil ialah kematian kita.
Apabila tiada juga khusyuk mungkin itu tanda kiamat kecil makin menghampiri kita.
Saya doakan ada manfaat dari kaedah ini apabila kita beramal. Saya doakan khusyuk itu bertandang apabila aktiviti di parietal lobe berkurang.